Punca Kejadian Terkucil Tanpa Sengaja

Terkucil atau Lemah kawalan pundi kencing (urinary incontinence) merupakan suatu keadaan di mana kita tidak dapat menahan mahupun mengeluarkan air kencing dengan cara yang sepatutnya. Air kencing boleh terkeluar secara tidak sengaja apabila kita terbatuk, bersin atau tiba-tiba sahaja. Keadaan yang agak meresahkan ini boleh terjadi kepada orang lelaki mahupun wanita. Ia juga lebih kerap melanda golongan lanjut usia berbanding individu yang lebih muda. Namun begitu, kelompok remaja dan belia juga perlu berwaspada kerana mereka juga berisiko untuk berdepan masalah ini.

Dr. Sanidah binti Md Ali menerusi artikel beliau yang bertajuk ‘Pundi Kencing’ menerangkan bahawa seiring pertambahan usia, sistem pembuangan air kencing dan pundi kencing itu sendiri akan mengalami beberapa perubahan. Antaranya ialah kawalan pengeluaran air kencing menjadi tidak menentu, isipadu penyimpanan air oleh pundi kencing akan berkurangan serta otot-otot pada pundi kencing mulai lemah dan tidak stabil (myhealth.com.my). Manakala Dr. Nurhalina Azly binti Minhat, seorang pakar perubatan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi sebuah artikel yang disiarkan di portal majalah Mingguan Wanita menjelaskan gejala lemah kawalan pundi kencing atau terkucil ini kerap terjadi kepada golongan wanita berbanding kaum lelaki. Menurut beliau lagi, di Malaysia, sebanyak 44.1 peratus wanita yang telah berumahtangga mengalami masalah lemah kawalan pundi kencing atau Stress Urinary Incontinence (SUI). 

Selain daripada itu, Dr. Halina juga menyatakan bahawa gejala terkucil di kalangan lelaki biasanya berkait rapat dengan masalah kelenjar prostat serta kesan rawatan penyakit yang berkaitan dengan kelenjar tersebut. Malah menurut beliau lagi, lebih 50 peratus lelaki berusia 60 tahun dan 90 peratus yang berusia antara 70 hingga 80 tahun mengalami masalah untuk mengawal pengeluaran kencing mereka akibat kegagalan fungsi kelenjar prostat (hmetro.com.my). Hal ini tidak termasuk kes-kes berkait dengan penyakit lain seperti komplikasi saraf akibat kandungan gula terlampau tinggi dalam darah, Parkinson, strok atau kecederaan pada saraf tunjang yang lazimnya terjadi akibat kemalangan. 

• Jenis-jenis keadaan terkucil

Gejala air kencing terkeluar tanpa sengaja ini boleh dikelaskan kepada beberapa jenis mengikut faktor pendorong yang menyebabkan ia terjadi. Secara umumnya terdapat enam (6) kategori yang asas iaitu:-

  1. Stress incontinence – Keadaan di mana air kencing akan terkeluar disebabkan tekanan yang diterima oleh tubuh. Misalnya sewaktu batuk, bersin, ketawa atau sewaktu melakukan aktiviti seperti berlari dan melompat.
  2. Urge incontinence – Dorongan kuat atau secara mendadak sehingga menyebabkan pengeluaran air kencing tidak dapat dikawal. Misalnya seseorang yang mengalami pembesaran prostat atau radang pada pundi kencing.
  3. Overflow incontinence – Suatu keadaan di mana pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya dalam sesuatu masa. Hal ini menyebabkan berlakunya kebocoran pada bahagian tubuh tersebut.
  4. Total incontinence – Jenis ini berlaku apabila pundi kencing tidak lagi dapat berfungsi dengan baik sebagai tempat simpanan air kencing sebelum ia dilepaskan keluar tubuh.
  5. Functional incontinence – Pundi kencing menjadi lemah kawalannya disebabkan tabiat individu yang kerap menahan air kencing disebabkan masalah pergerakan atau dengan sengaja tidak segera ke tandas pada waktu yang sepatutnya.
  6. Mixed incontinence – Gabungan beberapa jenis ketidakupayaan di atas yang mengakibatkan kegagalan fungsi penyimpanan dan pengeluaran air kencing.

• Punca yang menyebabkan kejadian terkucil tanpa sengaja

Berdasarkan jenis-jenis lemah kawalan (incontinence), kita dapat melihat bahawa gejala terkucil di kalangan masyarakat terjadi disebabkan beberapa faktor. Lemah kawalan akibat tekanan (stress incontinence) misalnya dapat dirungkai kepada beberapa faktor (punca). Antaranya ialah proses kehamilan dan melahirkan anak oleh kaum wanita. Kelahiran normal atau dengan bantuan alatan seperti forcep (di mana bayi perlu dikeluarkan dengan cepat bagi mengelakkan komplikasi lain) berkemungkinan meninggalkan trauma berlebihan kepada otot pada pundi kencing seterusnya menyebabkan si ibu berisiko mengalami maslaah lemah kawalan pundi kencing.

Begitu juga sekiranya seorang wanita pernah menjalani pembedahan pembuangan rahim (hysterectomy) atau apa-apa pembedahan yang melibatkan bahagian otot pelvis.

Faktor-faktor lain:-

  1. Penyakit batuk atau bersin yang kronik
  2. Pertambahan berat badan yang berlebihan, tekanan pada bahagian abdomen bertambah menyebabkan pundi kencing turut tertekan.
  3. Tabiat merokok yang tentu sekali tidak baik untuk kesihatan. Salah satunya menyebabkan gejala batuk yang teruk kepada si perokok serta orang sekeliling.
  4. Kerap melakukan aktiviti berimpak tinggi tanpa persediaan yang sewajarnya atau berlebihan sehingga memberi tekanan kepada otot-otot termasuk otot pundi kencing. 
  5. Menopaus juga boleh mencetuskan gejala lemah kawalan pundi kencing di kalangan wanita kerana pengurangan hormon estrogen dan testosterone menyebabkan otot lantai pelvis serta salur uretra menjadi lemah.
  6. Pembedahan prostat (pembuangan prostatectomy) atau rawatan radiasi untuk kanser prostat merupakan salah satu faktor pencetus gejala terkucil tanpa sengaja di kalangan lelaki.
  7. Jangkitan pada salur kencing atau kencing kotor.
  8. Masalah usus seperti gangguan dalam proses pembuangan najis atau sembelit yang teruk.
  9. Radang kelenjar prostat atau prostatitis.
  10.  Masalah buah pinggang, batu karang mahupun diabetis kronik yang mengakibatkan kerosakan saraf.
  11. Tabiat suka meminum air terlampau banyak pada sesuatu masa juga boleh menyebabkan seseorang individu berisiko mengalami gejala lemah kawalan pundi kencing.


    Artikel oleh Bahagian Kajian & Kandungan, Amisi Group

RUJUKAN

1 Mary Ellen Ellis, 24 Ogos 2020, Why Am I Experiencing Urinary Incontinence?, https://www.healthline.com/health/urinary-incontinence#types

2 Ceria Sihat, 26 May 2019, https://www.ceriasihat.com/masalah-lemah-kawalan-kencing/

3 Nurul Husna Mahmud, 14 April 2019, Ramai Mudah ‘Terkucil’, https://www.hmetro.com.my/node/109596

4 Zaitie Satibi, 24 Januari 2016, Lelaki Mudah Lemah Kawalan, https://www.hmetro.com.my/node/109596

5 Dr. Sanidah Binti Md Ali, 20 Jun 2014, Pundi Kencing, http://www.myhealth.gov.my/pundi-kencing/

6 Julie Roshana, 23 April 2019, Wanita Yang Sering Terkucil Mungkin Mengalami Masalah Kawalan Kencing, Baca Penjelasan Doktor Ini, https://dkraj1zlwu7.cloudfront.net/wanita-yang-sering-terkucil-mungkin-mengalami-masalah-kawalan-kencing-baca-penjelasan-doktor-ini/

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dapatkan Rawatan Terkucil di Klinik Amisi yang menggunakan rawatan terbaharu yang terdapat di pasaran.

Tanya kami hari ini juga supaya anda dapat mengembalikan potensi hidup anda seperti sebelum ini.